Gempa Lombok: 22 warga Malaysia di lokasi air terjun antara terjejas, dua pelancong maut
Astro Awani
Mac 17, 2019 20:18 MYT
Mac 17, 2019 20:18 MYT
Sejumlah 40 pelancong termasuk warganegara Malaysia yang sedang menikmati keindahan lokasi Air Terjun Tiu Kelep, Desa Senaru, Lombok Utara pada Ahad berdepan situasi cemas apabila gempa bumi yang melanda wilayah tersebut menyebabkan kesan tanah runtuh.
Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat dan Protokol Lombok Utara, Deddy Mujaddid Muhas, memberitahu kepada media, terdapat dua orang terkorban akibat insiden tanah runtuh berkenaan.
Bagaimanapun, menurut portal berita Detik.com, belum dapat dipastikan sama ada dua mangsa yang meninggal dunia itu warga Malaysia atau tempatan.
“Terdapat kurang lebih 40 orang pelancong terkena kesan tanah runtuh di sekitar lokasi kejadian, kebanyakannya pelancong dari Malaysia dan juga tempatan.
“Lima orang sudah dipindahkan, dua orang meninggal dunia manakala yang selebihnya mengalami kecederaan, selain seorang kini dirawat di pusat kesihatan masyarakat Bayan,” jelasnya.
Sehingga kini, pasukan penyelamat yang terdiri daripada gabungan beberapa agensi sedang berusaha memindahkan mangsa daripada lokasi bencana tersebut.
Turut dilaporkan, empat ambulans sudah berada di lokasi berkenaan.
Gempa berukuran 5.8 magnitud itu menggegarkan Lombok, Nusa Tenggara Barat sekitar jam 3.07 petang waktu tempatan, disusuli gegaran kedua sekuat 5.2 magnitud.