Gempa kuat landa China, sekurang-kurangnya tiga terkorban
Astro Awani
Mei 22, 2021 09:50 MYT
Mei 22, 2021 09:50 MYT
SEKURANG-KURANGNYA tiga maut susulan gempa kuat berukuran 6.4 magnitud yang melanda wilayah Yunnan pada lewat Jumaat.
Menurut laporan media tempatan, 27 individu cedera dalam insiden berkenaan di sebelah barat daya China.
Gempa berkenaan melanda pada kedalaman 8 kilometer dan beberapa gempa susulan dilaporkan, menurut agensi berita CCTV memetik data Pusat Rangkaian Gempa Bumi China.
Laporan itu turut memaklumkan beberapa jalan utama mendap dalam kejadian berkenaan serta tanah runtuh menyebabkan penduduk terputus bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon serta internet.
Global Times turut melaporkan keadaan darurat telah disytiharkan di bandar Dali, kira-kira 24 kilometer daripada pusat gempa tersebut, dan usaha mencari dan menyelamat mangsa giat dilakukan.
Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud juga dilaporkan di wilayah Qinghai, barat China pada Sabtu, lapor CCTV.