Gempa kuat 6.8 magnitud gegar sempadan China, Tajikistan
Astro Awani
Februari 23, 2023 09:20 MYT
Februari 23, 2023 09:20 MYT
BEIJING: Gempa bumi kuat 6.8 magnitud menggegarkan sempadan wilayah autonomi Uighur di Xinjiang, China dan Tajikistan pada jam 8.37 pagi, lapor USGS pada Khamis.
Media negara China bagaimanapun melaporkan gegaran pada 7.3 magnitud.
Tiada laporan kerosakan bangunan, kecederaan atau kehilangan nyawa dilapor setakat ini.
USGS menjangkakan hanya "sedikit atau tiada penduduk" terjejas kepada insiden tanah runtuh akibat daripada gempa itu.
Pusat gempa dipercayai terletak di Gorno-Badakhshan, wilayah timur separa autonomi yang bersempadan dengan Afghanistan dan China.
Gegaran susulan 5.0 magnitud melanda kawasan itu kira-kira 20 minit selepas gempa awal.
Wilayah yang tidak ramai penduduk itu dikelilingi banjaran pergunungan Pamir.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata gempa dengan kedalaman 49 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 363km timur laut dari Taloqan, Afghanistan.
Bagaimanapun, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut kenyataan itu.