Gempa Jepun: Hujan lebat, risiko tanah runtuh cabar usaha selamatkan mangsa
Agensi
April 17, 2016 18:55 MYT
April 17, 2016 18:55 MYT
Pasukan pencari dan penyelamat (SAR) berlumba dengan masa untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap akibat dua gempa bumi besar yang melanda selatan Jepun, lantaran keadaan cuaca buruk dan ancaman tanah runtuh.
Setakat ini 41 disahkan maut akibat bencana berganda itu dengan sekurang-kurangnya enam masih hilang yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan rumah dan lumpur.
Hujan lebat yang melanda sekitar Kumamoto di mana amaran risiko tanah runtuh telah dikeluarkan pihak berkuasa.
Cuaca buruk juga membawa kesulitan, walaupun kepada mereka yang terselamat dalam gempa awal pada Khamis.
Di bandar Mashiki yang teruk terjejas, beberapa rumah tradisional rumah kayu dilaporkan masih utuh, namun beberapa penduduk yang ditemui mengakui terpaksa mendapatkan perlindungan di tempat lain kerana bimbang gempa susulan.
"Saya tidur dalam kereta dan tinggal dalam khemah ini pada siang hari.
"Di kawasan ini, kita semua tahu ada sesaran aktif di bawah bandar Mashiki tetapi tiada siapa benar-benar mengambil berat mengenainya.
"Kami sudah agak akan berlaku satu gempa bumi besar di sini tetapi tiada siapa yang mengambil serius mengenainya,” kata Seiya Takamori, 52, kepada AFP sambil menunjukkan tempat perlindungannya yang dibuat daripada plastik.
Jirannya, Masanori Masuda, 59, juga tinggal di dalam khemah sementara.
Kata Masanori, banyak rumah berada dalam keadaan elok selepas gegaran yang pertama, tetapi musnah teruk apabila gempa kedua melanda, mengakibatkan penghuninya hilang keperluan asas.
"Saya memerlukan bateri untuk mengecas telefon bimbit saya. Juga, saya perlu tandas. Saya takut untuk terus berada dalam rumah tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya tidur di luar dan saya menggunakan tandas di dalam rumah," keluh Masanori.
Kedua-dua gempa telahj mencetuskan tanah runtuh besar yang mengambus banyak rumah, jalan raya dan landasan kereta api, serta bangunan moden.
Lebih daripada 90,000 orang telah dipindahkan, termasuk 300 dari kawasan berhampiran empangan yang berisiko untuk runtuh.
Pada awal pagi Sabtu, satu gempa bumi kuat berukuran 7.3 magnitud melanda wilayah Kumamoto, kurang 24 jam selepas kawasan sama dilanda gempa hingga mengorbankan sembilan nyawa dan mencederakan lebih 800 yang lain.
GALERI FOTO: Kemusnahan di Kumamoto akibat gempa bumi