Gempa Hokkaido: Angka korban cecah 35 orang
Sinar Harian
September 9, 2018 11:20 MYT
September 9, 2018 11:20 MYT
Pasukan penyelamat masih giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa susulan gempa Hokkaido dengan kekuatan 6.7 magnitud pada Khamis lalu yang turut mencetuskan kejadian tanah runtuh.
Setakat ini, angka korban dilaporkan 35 orang, dengan 3 masih hilang, sementara 600 yang lain cedera.
Operasi menyelamat tertumpu di bandar Atsuma terletak di bahagian selatan kepulauan tersebut dengan sejumlah 1,800 penyelamat termasuk polis, anggota bomba dan anggota pertahanan awam giat menjalankan misi.
Puluhan rumah musnah akibat tertimbus susulan bencana berkenaan, dan pihak berkuasa berkata setakat awal pagi tadi, lebih dari 5,000 orang ditempatkan di pusat perlindungan.
Sementara itu, agensi meteorologi negara itu memaklumkan lebih 140 gempa susulan berlaku sejak Khamis lalu, dan gegaran kuat mungkin akan terus berlaku untuk beberapa hari akan datang.
Dalam pada itu, sistem pengangkutan awam kembali beroperasi secara berperingkat dengan Lapangan Terbang New Chitose berhampiran Sapporo dilaporkan telah menyambung kembali penerbangan antarabangsanya.
Bagaimanapun, penduduk Hokkaido masih mengalami gangguan bekalan elektrik berikutan operasi loji jana kuasa terbesar di kepulauan itu yang terjejas teruk akibat gempa.
Menurut Syarikat Elektrik Hokkaido, pembukaan semula loji jana kuasa tersebut mengambil masa seminggu atau lebih, bergantung kepada pemeriksaan.
Gempa Hokkaido terjadi di saat Jepun baru sahaja dilanda taufan Jebi yang disifatkan paling kuat pernah berlaku dalam tempoh 25 tahun. - Agensi
#bekalan elektrik
#cedera
#gempa bumi
#Hokkaido
#Jepun
#loji jana kuasa
#mangsa
#operasi
#penyelamat
#rumah
#tanah runtuh