Gempa di Turki, Greece ragut 26 nyawa setakat ini

Agensi
Oktober 31, 2020 14:25 MYT
Pasukan penyelamat berterusan melakukan kerja menyelamat dalam runtuhan bangunan disebabkan gempa yang melanda pantai Aegean di Turki dan utara Pulau Samos, Greece. - Gambar AP
ANKARA: Pasukan penyelamat berterusan melakukan kerja menyelamat dalam runtuhan bangunan disebabkan gempa yang melanda pantai Aegean di Turki dan utara Pulau Samos, Greece yang setakat ini menyebabkan 26 orang terkorban dan lebih 800 yang lain cedera.
Gempa yang melanda pada Jumaat petang menyebabkan bangunan di Izmir, kota ketiga terbesar di Turki runtuh malah turut mencetuskan tsunami kecil di daerah Seferihisar dan Samos di Greece.
Gempa itu kemudian disusuli dengan ratusan gempa.
Pada pagi Sabtu, penduduk tempatan bersorak gembira ketika seorang remaja, Inci Okan berjaya diselamatkan dari runtuhan blok pangsapuri lapan tingkat.
Dua wanita, berusia 53 dan 35 tahun juga antara yang berjaya diselamatkan tatkala ramai saudara-mara dan rakan-rakan berkumpul di luar pangsapuri tersebut bagi menunggu berita orang tersayang yang masih terperangkap dalam bangunan itu.
Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh di Izmir, termasuk seorang wanita warga emas yang lemas, menurut Presiden Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki, atau AFAD.
Dua remaja terbunuh di Samos setelah dihempap tembok yang runtuh.
Sekurang-kurangnya 19 orang cedera di pulau itu, dengan dua orang, termasuk seorang berusia 14 tahun, dihantar ke Athens dan tujuh orang dimasukkan ke hospital di pulau itu, kata pihak berkuasa kesihatan.
Tsunami kecil yang melanda pantai Turki juga mempengaruhi Samos, dengan air laut membanjiri jalan-jalan di bandar pelabuhan utama Vathi.
Pihak berkuasa memberi amaran kepada orang awam agar menjauhkan diri dari pantai dan bangunan yang berpotensi untuk runtuh.
Gempa bumi, yang menurut Institut Kandilli berkekuatan 6.9 skala Richter, melanda kawasan itu pada jam 2:51 petang (waktu tempatan) di Turki dan berpusat di Aegean timur laut Samos.
Gegaran itu terasa di seluruh pulau-pulau Greece timur malah sejauh Athens dan Bulgaria.
Di Turki, ia menggegarkan wilayah Aegean dan Marmara, termasuk Istanbul.
Begitupun, Gabenor Istanbul mengatakan tidak ada laporan kerosakan di bandar itu.
Pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk di Izmir untuk tidak kembali ke bangunan yang rosak, menegaskan ia boleh runtuh dalam gempa susulan yang kuat.
Lebih daripada 3,000 anggota penyelamat dihantar ke Izmir, serta bekalan bantuan dan Bulan Sabit Merah Turki mendirikan tempat memasak untuk mangsa.
Pegawai pemerintah Greece dan Turki mengeluarkan mesej solidariti bersama sementara presiden Greece dan Turki mengadakan perbualan telefon bagi tujuan sama.
#Greece #Turki #gempa bumi #gempa #tsunami #maut #runtuh #bangunan #hempap #Istanbul #lemas #mangsa #presiden #cedera #warga emas #remaja
;