Gempa bumi Turkiye-Syria: UEFA, IOC tampil hulur bantuan
Astro Awani
Februari 11, 2023 11:40 MYT
Februari 11, 2023 11:40 MYT
JAWATANKUASA Olimpik Antarabangsa (IOC) dan badan bola sepak Eropah (UEFA) mengumumkan bantuan awal susulan tragedi gempa yang melanda Turkiye dan Syria pada Isnin.
Kedua-dua agensi itu antara badan persekutuan sukan terkini yang menyediakan bantuan kewangan buat mangsa yang terjejas akibat gempa bumi kuat 7.8 magnitud di kedua-dua negara tersebut.
IOC memperkenalkan dana kecemasan dan bakal menderma AS$1 juta (kira-kira RM4.3 juta) untuk membantu mereka yang terjejas akibat bencana tersebut, kata IOC pada Jumaat.
Manakala UEFA dan Yayasan UEFA untuk Kanak-kanak pula akan menyalurkan sumbangan awal sebanyak 200,000 euro (kira-kira RM927,400) sebagai menyokong operasi kemanusiaan di Turkiye dan Syria.
Liga Perdana United Kingdom dalam maklumannya berkata akan menderma sejumlah satu juta pound (kira-kira RM5.2 juta) manakala pemain serta pegawai akan memakai lilitan lengan hitam ketika perlawanan Liga Perdana hujung minggu ini.