Gempa bumi Turkiye-Syria: "Saya rasa apartmen bergoyang" - Pelajar Malaysia
Hilmi Malik
Februari 12, 2023 17:50 MYT
Februari 12, 2023 17:50 MYT
ISTANBUL: Penduduk Istanbul merasai gegaran awal dua hari sebelum gempa bumi kuat melanda Gazientep, yang terletak lebih 1,000 kilometer di bahagian selatan Turkiye, Isnin lalu.
Mereka bagaimanapun tidak menyangka gempa berkenaan akan mendatangkan kemusnahan amat dahsyat terhadap penduduk di kawasan terjejas termasuk negara jiran, Syria.
Menceritakan detik merasai gegaran itu, seorang pelajar Malaysia di sini, Muhammad Syukri Mohamad Misenan berkata, gelombang awal gempa bumi itu mengakibatkan bangunan apartmennya turut bergoyang.
Ujarnya, dia sama sekali tidak menyangka keadaan akan menjadi lebih serius mengakibatkan kesan yang amat buruk di Gazientep kerana situasi seperti itu dianggap biasa berlaku di Istanbul setiap kali pertukaran musim.
"Gegaran berlaku pada jam 3.30 pagi (waktu tempatan) dua hari sebelum kejadian terburuk itu.
"Pada awalnya memang pelik kerana katil dan lampu semua dah mula bergoyang.
"Saya mula dapat tahu tentang insiden (pada Isnin) selepas baca perkongsian di Twitter dan gegaran di kawasan saya ketika itu (dua hari sebelum) hanya pada bacaan 4.1 skala Richter," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Ketika kejadian, Muhammad Syukri yang merupakan pelajar PHD jurusan kimia di Universiti Yildiz Technical sedang mengulang kaji pelajaran.
Meskipun kejadian itu kerap berlaku namun kebimbangan masih wujud apabila memikirkan keadaan bangunan rumahnya yang berada di tingkat tujuh.
"Takut memang ada, saya cuba juga intai kawasan luar tapi tidak kelihatan apa-apa berlaku.
"Kebiasaannya, bacaan gempa bumi di kawasan ini bawah 5 skala Richter," ujarnya.
Dalam pada itu, menurutnya dia mempunyai beberapa rakan yang berada di lokasi yang terjejas di selatan Turkiye, namun sebahagian besar mereka telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
Astro AWANI yang menyertai misi bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa gempa bumi Turkiye diketuai Global Peace Mission (GPM) Malaysia, akan membawa kisah-kisah menyayat hati yang dialami mangsa gempa bumi berkenaan.
Ini termasuk usaha untuk mendekati kawasan 'ground zero' bagi membawakan liputan yang lebih meluas.
Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas, telah meragut lebih 24,000 nyawa.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berkata, angka korban susulan gempa yang berlaku dijangka meningkat susulan ramai lagi mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Bagaimanapun, usaha untuk menemui mangsa yang masih hidup berkemungkinan agak tipis ekoran keadaan mangsa yang terperangkap selama beberapa hari.
Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.