Gempa bumi Turkiye-Syria: GPM bergerak ke Gaziantep agih makanan kepada mangsa

Hilmi Malik
Februari 12, 2023 11:30 MYT
Wartawan penyiaran Astro AWANI, Hilmi Malik (tiga dari kanan) menyertai misi kemanusiaan Global Peace Mission ke Turkiye sejak Jumaat lalu - Foto Astro AWANI
ISTANBUL: Misi bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa gempa bumi Turkiye yang diketuai Global Peace Mission (GPM) Malaysia akan dimulakan dengan agihan makanan di Gaziantep pada Ahad.
Agihan yang diketuai GPM dan turut disertai 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia itu akan memulakan misi kemanusiaan dengan siri lawatan ke pusat penyediaan makanan di ground zero di Gaziantep.
Ketua Misi GPM Malaysia, Salman Yusop berkata, pusat penyediaan makanan juga telah diatur bersama pihak organisasi tempatan.
"Pasukan akan mula bergerak ke Gaziantep untuk memulakan misi kemanusiaan dan kita akan melawat pusat penyediaan makanan yang melibatkan rakan-rakan di lapangan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Secara keseluruhan, terdapat lebih kurang 30 NGO yang akan menyertai kami, bersama-sama memasak dan melakukan agihan makanan kepada mangsa di kawasan terjejas," katanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Ahad.
SEMUA MAKLUMAT BERHUBUNG GEMPA TURKIYE-SYRIA DI SINI
BACA: Gempa bumi Turkiye: Fakta nombor anda perlu tahu
Gempa Bumi Turkiye | Erdogan: Gempa Isnin lepas bencana terburuk negara
Menurut Salman, pihaknya juga bersedia untuk berdepan dengan beberapa cabaran antaranya cuaca sejuk ekstrem di kawasan bencana.
Rombongan misi dijangka tiba di Gaziantep pada jam 8.30 waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia). Sebelum itu, rombongan misi kemanusiaan berkenaan bermalam di Istanbul berikutan kehabisan tiket penerbangan ke Gaziantep.
Setakat ini, jumlah korban dalam tragedi gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria melepasi 25,000 orang manakala lebih 80,000 lagi cedera.
Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

Wartawan penyiaran Astro AWANI, Hilmi Malik turut menyertai misi kemanusiaan ke Turkiye bersama NGO Global Peace Mission.
#gempa turkiye #GPM #misi bantuan kemanusiaan #gempa Syria
;