Gempa bumi Turkiye: Pasukan SMART MAS-01 usaha keluarkan mangsa terperangkap bawah runtuhan

Fareez Azman
Februari 9, 2023 20:02 MYT
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ketika ini sedang menyelamatkan seorang mangsa yang dikatakan terperangkap di dalam runtuhan bangunan tiga tingkat di Gaziantep, Turkiye. - Foto ihsan Facebook SMART
ISTANBUL: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ketika ini sedang berusaha menyelamatkan seorang mangsa yang dikatakan terperangkap di dalam runtuhan bangunan tiga tingkat di Gaziantep, Turkiye.
Menerusi maklumat diterima Astro AWANI, pasukan SMART telah diatur gerak ke kawasan runtuhan di Nurdagi pada Khamis sejurus menerima maklumat berkenaan.
Menerusi gambar yang dikongsi, anggota SMART menggunakan peralatan untuk memecahkan struktur rumah bagi mengeluarkan mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Turut membantu pasukan SMART ialah anggota Angkatan Tentera Turkiye di lokasi kejadian.
Terkini, lebih 17,000 terkorban di Turkiye dan Syria, dengan usaha SAR dipergiat dan usaha lain dapat dijalankan dengan pantas.
Awal pagi Isnin, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Kahramanmaras, diikuti gempa susulan 7.6 pada skala Richter kira-kira sembilan jam kemudian menggegarkan wilayah itu hingga menjejaskan beberapa wilayah lain termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.
Gempa bumi turut dirasai di beberapa negara di rantau ini, termasuk Lubnan dan Syria.
Sementara itu, Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye dalam kenyataan awal memaklumkan, seramai 60,218 pegawai kecemasan dikerahkan di kawasan itu, termasuk 3,200 kakitangan dari 65 negara.
#Gempa bumi Turkiye #Kedutaan Malaysia ke Turkiye #SMART #SAR
;