Gempa bumi Turkiye: Pangkalan Operasi SMART di Gaziantep, siap sedia mulakan misi SAR

Fareez Azman
Februari 9, 2023 15:02 MYT
Pangkalan Operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 telah siap dibangunkan di Wilayah Gaziantep, selatan Turkiye. - Foto Facebook SMART
GAZIANTEP: Pangkalan Operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 telah siap dibangunkan di Wilayah Gaziantep, selatan Turkiye.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi SMART, kesemua 70 anggota SMART telah ditempatkan di Nurdagi, wilayah itu.
Difahamkan, pasukan pertama SMART itu telah bersiap sedia untuk memulakan misi mencari dan menyelamat di Gaziantep.
Terdahulu, kumpulan kedua Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 6 pagi waktu tempatan.
Ketibaan pasukan kedua itu disambut Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.
Pasukan itu terdiri daripada 20 anggota SMART, 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 20 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta dua ekor anjing pengesan K9 JBPM.
Mereka dijadualkan akan berlepas ke Gaziantep pada jam 9 pagi waktu tempatan sebelum memulakan misi mencari dan menyelamat di wilayah itu.
Astro AWANI akan membawakan perkembangan terkini mengenai operasi SAR SMART di Turkiye dari semasa ke semasa.
#SMART #Istanbul #Gempa bumi Turkiye #SAR
;