Gempa bumi Turkiye: Operasi SAR pasukan SMART dipecah kepada beberapa unit - Nadma
Bernama
Februari 8, 2023 21:41 MYT
Februari 8, 2023 21:41 MYT
KUALA LUMPUR: Tujuh puluh anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye, kini dipecahkan kepada beberapa unit pasukan kecil mengikut objektif dan keperluan yang berbeza.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan hari ini berkata pasukan pertama itu kini ditempatkan di pelbagai lokasi di Gaziantep dan Adana.
Menurut kenyataan itu, pasukan SMART kedua yang dijadual bertolak ke Turkiye malam ini pula akan melibatkan 70 orang anggota SAR tetap dan terlatih iaitu; 20 anggota Pasukan SMART, 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta 20 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
"Ketua Pengarah Nadma (Datuk Khairul Shahril Idrus) telah menetapkan agar Komander SMART, Nadma bertindak sebagai Komander Operasi bagi kedua-dua Pasukan MAS-01 (pasukan pertama) dan MAS-10 (pasukan kedua).
"Pasukan kedua ini nanti juga akan disertai dua orang pegawai Nadma, tiga wakil media rasmi daripada RTM dan Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia)," menurut kenyataan itu.
Gempa bumi besar dengan magnitud 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin, telah meragut beribu nyawa di kedua-dua negara. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Nadma dalam kenyataan sama berkata penghantaran bantuan unit K-9 akan cuba diusahakan, namun masih bergantung kepada proses dan situasi semasa.
"Penghantaran bantuan unit K-9 (pasukan pertama) tidak dapat dilaksanakan berikutan beberapa kekangan prosedur semasa di Malaysia mahupun Turkiye," katanya.
Sementara itu Nadma menjelaskan penyelarasan operasi SAR diuruskan menggunakan mekanisme Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh NDMO Turkiye-AFAD dan UNOCHA selaku Sekretariat INSARAG PBB.
"Pasukan yang mempunyai pensijilan INSARAG PBB sahaja dibenarkan masuk menyertai operasi," katanya.
-- BERNAMA