Gempa bumi Turkiye: Angka korban meningkat kepada 42,310

Bernama
Februari 22, 2023 12:18 MYT
Seorang lelaki berjalan bersebelahan bangunan yang musnah di Antakya akibat gempa bumi yang melanda Turkiye. - Foto AP
ANKARA: Sekurang-kurangnya 42,310 orang terbunuh akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Feb, kata agensi pengurusan bencana negara itu pada Selasa.
Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) berkata gempa yang berpusat di daerah Pazarcik dan Elbistan di wilayah Kahramanmaras itu juga menyaksikan 7,184 gegaran susulan, lapor Agensi Anadolu.
Gempa bermagnitud 7.7 dan 7.6 itu turut melanda 10 wilayah lain - Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Hatay, Gaziantep, Malatya, Kilis, Osmaniye, Elazig dan Sanliurfa.
Lebih 13 juta penduduk terjejas akibat gempa bumi dahsyat itu.
Dalam tempoh kurang dari 10 jam beberapa negara di rantau itu, termasuk Syria dan Lubnan, turut merasakan gegaran kuat yang melanda Turkiye.
Sejumlah 14,740 anggota mencari dan menyelamat tempatan dan antarabangsa kini berada di lapangan untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat, kata AFAD.
Sementara itu, pada taklimat media Menteri Dalam Negeri Turkiye Suleyman Soylu berkata sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan 562 yang lain cedera, termasuk 18 dalam keadaan kritikal, selepas gempa bumi baharu menggegarkan Hatay, wilayah paling selatan Turkiye pada lewat Isnin.
-- BERNAMA
#gempa turkiye #angka korban #AFAD #gegaran susulan
;