Gempa bumi Turkiye: Angka korban melepasi 45,000 di Turkiye dan Syria
Agensi
Februari 18, 2023 15:21 MYT
Februari 18, 2023 15:21 MYT
KAHRAMANMARAS: Angka kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria terus meningkat melebihi 45,000 mangsa pada Sabtu.
Agensi antarabangsa Reuters melaporkan, angka korban di Turkiye meningkat kepada 39,672 orang, manakala di Syria pula melebihi 5,800 mangsa.
Bagaimanapun, angka kematian dijangka terus meningkat apabila ramai mangsa yang dilaporkan masih hilang di bawah runtuhan 264,000 bangunan.
Misi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan pasukan SAR pelbagai negara di 10 wilayah yang terkesan di Turkiye.
Sebelum ini, beberapa mangsa berjaya ditemui selamat selepas lebih 200 jam terperangkap di bawah runtuhan.
Ia menyuntik semangat buat anggota SAR untuk meneruskan usaha mereka mencari mangsa di kawasan runtuhan.
Antaranya, Osman Halebiye, 14 tahun dan Mustafa Avci, 34 tahun yang kini dirawat di Hospital Mersin, manakala Hakan Yasinoglu, 40 pula diselamatkan di wilayah Hatay selepas 278 jam terperangkap.
Lebih 13 juta orang terjejas akibat bencana pada 6 Februari lalu itu.