Gempa bumi Turkiye: Angka korban kini mencecah 43,556

Bernama
Februari 23, 2023 12:52 MYT
Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras turut menjejaskan 10 wilayah lain iaitu Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig. - Foto AP
WASHINGTON: Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye pada 6 Feb kini meningkat kepada 43,556 nyawa, kata Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu pada Rabu.
Soylu membuat kenyataan itu ketika bersiaran langsung di Hatay, antara 11 wilayah yang dilanda gempa bumi.
Kerajaan memerlukan tempoh masa tertentu untuk bertindak balas apabila berhadapan dengan situasi 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).
Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras turut menjejaskan 10 wilayah lain iaitu Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.
Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turkiye akan mula membina lebih 200,000 kediaman seawal Mac di kawasan bencana dan pembinaan dijangka siap dalam tempoh satu tahun.
-- BERNAMA
#Gempa bumi Turkiye #Recep Tayyip Erdogan #mencari dan menyelamat #mangsa gempa
;