Gempa bumi Turki: Kanak-kanak 3 tahun ditemui hidup selepas 91 jam terperangkap

Agensi
November 3, 2020 11:53 MYT
Ayda Gezgin yang ditemui masih hidup dalam runtuhan bangunan pada Selasa, selepas empat hari gempa kuat melanda wilayah Izmir di barat Turki baru-baru ini. - Gambar AP
IZMIR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun berjaya ditemui dalam runtuhan bangunan pada Selasa, selepas empat hari gempa kuat melanda wilayah Izmir di barat Turki baru-baru ini.
Kementerian Kesihatan Turki memaklumkan, kanak-kanak perempuan tersebut yang ditemui dalam keadaan masih hidup dikenal pasti sebagai Ayda Gezgin.
Penemuan itu direkodkan sehari selepas seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan remaja 14 tahun ditemui dalam runtuhan sama.
Ayda dilaporkan terperangkap dalam runtuhan selama 91 jam sejak bencana itu melanda Laut Aegea Jumaat lalu.
Sementara itu, jumlah kematian akibat gempa tersebut dilaporkan meningkat kepada 102 mangsa selepas pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat.
BACA: Korban gempa di Turki meningkat kepada 39
Manakala lebih 1,000 mangsa dilaporkan cedera di Izmir.
Untuk rekod, gempa berkekuatan 6.6 melanda Laut Aegea di luar daerah Seferihisar di Izmir pada Jumaat.
Turki turut melaporkan lebih daripada 1,464 gempa susulan berikutan bencana itu, termasuk 44 yang berada di atas empat skala Richter.
Selepas puluhan bangunan rosak dan risiko gegaran berulang, ribuan penduduk di Izmir terpaksa berlindung dan tidur di dalam khemah.
BACA: Gegaran gempa di Turki, Greece: Tiada rakyat Malaysia terjejas - Wisma Putra
#Turki #gempa bumi #Kanak-kanak #Kementerian Kesihatan #jumlah kematian #operasi