Gempa bumi Syria: Harapan jumpa mangsa masih hidup kian pudar - White Helmets
Astro Awani
Februari 10, 2023 09:00 MYT
Februari 10, 2023 09:00 MYT
ALEPPO: Harapan kini kian tipis setelah usaha mencari dan menyelamat masuk hari keempat pada Khamis.
Menurut Syria Civil Defense, mereka telah berusaha tanpa henti selama lebih 90 jam dalam keadaan yang sangat sukar.
Organisasi sukarelawan yang lebih dikenali sebagai White Helmets itu berkata mereka akan meneruskan operasi menyelamat di kawasan terjejas di utara Syria yang dikawal pembangkang hingga Jumaat.
Bagaimanapun, dalam satu catatan di Twitter, mereka memberi amaran bahawa harapan untuk mencari mangsa yang terselamat kini kian "pudar."
Kawasan yang terjejas termasuk kawasan luar bandar Aleppo di utara Syria dan kawasan luar bandar Idlib di timur laut Syria.
Usaha menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dibuat susulan gempa bumi kuat 7.8 magnitud yang melanda Turkiye dan Syria pada Isnin.