Gempa bumi: Qatar serah 10,000 kabin Piala Dunia 2022 kepada Turkiye, Syria

Agensi
Februari 13, 2023 21:10 MYT
Qatar mengambil keputusan untuk menghantar kabin dan karavan ke rantau itu bagi memberikan sokongan segera yang amat diperlukan rakyat Turkiye dan Syria. - Gambar/ REUTERS
DOHA: Kerajaan Qatar bakal menghantar 10,000 kabin dan karavan yang digunakan semasa Piala Dunia 2022 kepada Turkiye dan Syria sebagai bantuan kepada mangsa gempa bumi yang kehilangan tempat tinggal.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan jutaan rakyat di dua negara itu memerlukan bantuan selepas gempa bumi 7.8 magnitud 6 Februari lalu.
Qatar mengambil keputusan untuk menghantar kabin dan karavan itu sebagai sokongan segera yang amat diperlukan rakyat Turkiye dan Syria, lapor AFP.
Kejadian gempa bumi itu mengorbankan sekurang-kurangnya 34,000 orang dan meratakan ribuan kawasan perumahan dan bangunan di dua negara berjiran terbabit.
Kabin itu sebelum ini digunakan selama beberapa minggu ketika Qatar menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022.
Dalam pada itu, pegawai Qatar berkata penghantaran pertama ke Turkiye dijadualkan hari ini dengan penghantaran lanjut dijangka bertolak dalam beberapa hari akan datang.
#Qatar #Gempa Bumi Turki #gempa turkiye #kabin piala dunia 2022
;