Gempa bumi: Pemimpin EU bersolidariti dengan Maghribi
Bernama
September 10, 2023 10:40 MYT
September 10, 2023 10:40 MYT
ANKARA: Kesatuan Eropah (EU) dan negara anggotanya menghantar surat kepada Raja Maghribi Mohammed VI pada Sabtu menyampaikan solidariti dan ucapan takziah selepas gempa bumi dahsyat melanda negara Afrika Utara itu.
Surat yang diketuai oleh Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dimulakan dengan ucapan takziah atas kehilangan nyawa yang tragis akibat gempa itu, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Kami amat sedih dengan akibat buruk daripada peristiwa tragis ini. EU dan negara anggotanya bersolidariti penuh dengan rakyat Maghribi pada saat yang sukar ini.
"Sebagai rakan rapat dan rakan kongsi Maghribi, kami sedia membantu dalam apa jua cara yang anda anggap berguna," katanya.
Surat itu ditandatangani oleh Michel, pemimpin negara anggota EU dan ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula Von der Leyen.
Sekurang-kurangnya 2,012 orang terbunuh manakala 2,059 lagi cedera berikutan gempa bumi kuat yang melanda Maghribi, AA memetik Kementerian Dalam Negeri negara itu sebagai berkata pada Sabtu.Kecederaan termasuk 1,404 kes kritikal.
Kematian akibat gempa dengan magnitud 7 berlaku di beberapa wilayah, termasuk El-Houz, Taroudant, Chichaoua, Tiznit, Marrakech, Azilal, Agadir, Casablanca dan Youssoufia.
-- BERNAMA