Gempa bumi Maghribi: Hotel milik Ronaldo dibuka sebagai pusat perlindungan
Agensi
September 10, 2023 13:48 MYT
September 10, 2023 13:48 MYT
MARRAKECH: Bintang bola sepak tersohor, Cristiano Ronaldo telah membuka Hotel Pestana CR7 miliknya sebagai tempat perlindungan kepada mangsa yang terjejas akibat gempa bumi di Maghribi.
Bintang Portugal dan Al-Nassr itu memiliki rangkaian hotel yang merangkumi kawasan Eropah dan Timur Tengah.
Dalam usaha untuk meringankan penderitaan mangsa gempa bumi, Ronaldo menawarkan hotelnya untuk dijadikan penginapan sementara.
Pestana CR7 yang terletak di pinggir bandar Marrakech merupakan hotel empat bintang dan mempunyai kemudahan kolam renang, pusat kecergasan dan restoran.
Sementara itu, pemain pertahanan Maghribi dan PSG, Achraf Hakimi, membantu kempen derma sebagai usaha membantu mereka yang memerlukan rawatan akibat gempa bumi.
“Kita sedang melalui masa yang sukar, dan kita mengingati mereka yang cedera dan keluarga mangsa.
"Mari bekerjasama untuk menyelamatkan mangsa yang cedera dengan menderma darah. Kita semua milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali," tulis Hakimi di X.
Angka kematian akibat gempa kuat yang melanda Maghribi kini telah meningkat kepada lebih 2,000 dengan kemusnahan menyeluruh di beberapa kawasan.