Gempa bumi Maghribi: Gegaran baharu 4.5 magnitud dirasai di Marrakesh

Astro Awani
September 11, 2023 09:15 MYT
Penduduk Amizmiz berdekatan Marrakesh dilihat meninggalkan kediaman mereka susulan gempa bumi yang melanda Maghribi. - Foto AP
MARRAKESH: Lebih banyak gegaran dipercayai gempa susulan dirasai di bandar Marrakesh dan kawasan sekitarnya pada Ahad.
Penduduk memberitahu agensi media, mereka merasakan pergerakan tanah yang ketara, biarpun tiada kerosakan berlaku.
Tinjauan menggunakan aplikasi telefon pintar menunjukkan gegaran itu berukuran 4.5 magnitud.
Sementara itu, Al Jazeera melaporkan kawasan Central Square dipenuhi dengan orang ramai yang bermalam di situ.
Kebanyakan mereka marah kerana masih tidak menerima bantuan daripada kerajaan dan memilih untuk terus berada di kawasan dataran itu kerana mudah diakses pasukan sukarelawan yang cuba menghantar bantuan.
Maghribi telah mengisytiharkan tiga hari berkabung selepas lebih 2,000 maut dalam gempa bumi pada awal Sabtu.
#gempa bumi #gempa susulan #pergerakan tanah #kerosakan
;