Gempa bumi Maghribi: Angka korban meningkat kepada 820

Astro Awani
September 9, 2023 18:18 MYT
Beberapa bangunan dilihat mengalami kerosakan dalam kejadian tersebut. - Foto AP
RABAT: Angka kematian akibat gempa bumi di Maghribi telah meningkat kepada 820, dengan 672 yang lain cedera, menurut stesen TV tempatan Al Aoula, memetik Kementerian Dalam Negeri.
CNN melaporkan, terdapat 205 mangsa yang kini dalam keadaan kritikal.
Terdahulu, gempa bumi dengan magnitud 7.0 menggegarkan Maghribi pada Sabtu.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa dikesan 71km barat daya dari Marrakesh pada kedalaman 18.5km.
Rakaman video yang dimuat naik di X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter, memaparkan orang ramai berlari meninggalkan kediaman mereka.
Beberapa bangunan dilihat mengalami kerosakan dalam kejadian tersebut. Gempa berkenaan dilaporkan turut dirasa di ibu negara, Rabat.
Bernama melaporkan, kematian akibat gempa bumi berlaku di pelbagai wilayah, termasuk Al Haouz dan Marrakesh, serta bandar Ouarzazate, Azilal, Chichaoua dan Taroudant, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Gempa bumi itu adalah gegaran paling kuat yang melanda negara Afrika Utara itu sejak abad lalu, menurut Institut Geofizik Kebangsaan Maghribi.
Media tempatan melaporkan beberapa bangunan, termasuk tembok merah terkenal yang mengelilingi bandar lama dan tersenarai antara Warisan Dunia UNESCO, telah rosak.
#gempa bumi #Maghribi #angka korban #Marrakesh
;