Gempa bumi kuat landa barat Sumatera Utara
Astro Awani
Oktober 1, 2022 09:00 MYT
Oktober 1, 2022 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter menggegarkan wilayah barat Sumatera Utara Indonesia pada pagi Sabtu, menurut pihak berkuasa.
Gempa berlaku pada 2.28 pagi waktu Jakarta (1928 GMT Jumaat) dengan pusat gempa berada 15 kilometer (km) barat laut daerah Tapanuli Utara dan kedalaman 10 km, menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik negara itu.
Dua gegaran susulan turut direkodkan masing-masing berukuran 5.1 dan 5.0 pada skala Richter, namun tidak berpotensi mencetuskan tsunami.
Setakat ini tiada laporan kerosakan atau kematian, termasuk di kawasan paling terjejas teruk di daerah Tapanuli Utara, kata Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Pulau Nias wilayah Sumatera Utara, Agus Wibisono kepada Xinhua.
Gegaran turut dirasai di kawasan berhampiran di wilayah Aceh, menurut agensi itu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan gempa itu berlaku pada jarak 286 kilometer barat daya dari Sabak Bernam, Selangor.
Menurut jabatan itu, gegaran mungkin dirasai di Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta Perak dan MetMalaysia akan terus memantau keadaan itu, lapor Bernama.
Orang ramai diminta mengisi borang di pautan https://forms.gle/xrnKwLo83vM8zmYG7 sekiranya terdapat maklumat gegaran.