Gempa bumi kuat gegar Haiti, 304 terbunuh, ratusan cedera

Astro Awani
Ogos 14, 2021 05:35 MYT
Sekurang-kurangnya 304 individu maut dan ratusan lagi cedera atau hilang selepas gempa bumi kuat melanda barat daya Haiti, pada Sabtu. -Twitter @JCOMHaiti
PORT-AU-PRINCE: Sekurang-kurangnya 304 individu maut dan ratusan lagi cedera atau hilang selepas gempa bumi kuat melanda barat daya Haiti, pada Sabtu.
Beberapa bangunan seperti gereja, hotel dan rumah runtuh dalam tragedi terbaharu yang melanda negara Carribean itu.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa bumi berkekuatan 7.2 pada skala Ritcher disusuli gempa susulan dirasai di bandar Petit Trou de Nippes kira-kira 150 kilometer barat ibu kota Port-au-Prince, pada kedalaman 10 kilometer.
Gempa bumi itu turut dirasai jauh sehingga ke Cuba dan Jamaica dan berpotensi kuat dan lebih dalam berbanding gempa bumi berkekuatan 7.0 pada skala Richter yang mengorbankan puluhan ribu orang di negara termiskin Amerika 11 tahun lalu.
Gempa bumi terbaharu ini berlaku pada 8.30 pagi waktu tempatan dan dirasai dengan kuat, namun saksi awal memberitahu ia tidak menyebabkan kerosakan besar.
Susulan kejadian, Perdana Menteri Ariel Henry mengiystiharkan darurat selama sebulan.
Gempa berlaku ketika sejumlah besar rakyat Haiti berdepan kebuluran dan perkhidmatan kesihatan dibanjiri oleh pesakit COVID-19.
Bandar yang mengalami kerosakan besar ialah Les Cayes di mana banyak bangunan runtuh dan pihak berkuasa masih giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Di Les Cayes, penduduk tempatan berkata air membanjiri bandar itu dan menyebabkan panik akan berlakunya tsunami.
Media media Haiti melaporkan beberapa orang di sepanjang pantai telah melarikan diri ke pergunungan.
Sistem amaran tsunami Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tsunami setelah gempa namun ia ditarik balik tidak lama selepas itu.
Presiden AS Joe Biden meluluskan tindak balas segera terhadap gempa tersebut dan menamakan Samantha Power, pentadbir agensi pembangunan antarabangsa sebagai penyelaras usaha tersebut.
Gempa itu terjadi hanya sebulan setelah pembunuhan presiden Jovenel Moise.
#gempa bumi #Haiti #jumlah kematian #bangunan runtuh #Port-au-Prince #Petit Trou de Nippes #skala Richter
;