Gempa bumi kuat 7.2 magnitud gegar utara Jepun, cetuskan amaran tsunami

Agensi
Mac 20, 2021 18:53 MYT
Gempa tersebut menggegarkan kawasan pantai wilayah Miyagi pada jam 6.26 petang waktu tempatan. - Gambar REUTERS
TOKYO: Kejadian gempa bumi melanda timur laut Jepun pada Sabtu, yang turut mencetuskan tsunami setinggi satu meter.
Penyiar berita NHK melaporkan, gempa tersebut menggegarkan kawasan pantai wilayah Miyagi pada jam 6.26 petang waktu tempatan.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, gempa itu berukuran 7.2 magnitud dan dikesan pada kedalaman 60 kilometer (km).
Selain itu, NHK turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mendekati kawasan pantai.
Wilayah Miyagi turut mengalami gangguan bekalan elektrik di beberapa daerah, sementara perkhidmatan kereta api peluru Tohoku Shinkansen juga dihentikan.
Gempa dilaporkan turut dirasai di Tokyo sekitar 400 km di selatan pusat gempa.
Sementara itu, Agensi Meteorologi Jepun telah menarik semula amaran tsunami pada sekitar jam 7.30 petang waktu tempatan.
Agensi tersebut memaklumkan, mungkin terdapat perubahan pada paras laut, namun tiada kebimbangan berkenaan kesan tsunami.
#gempa bumi #Jepun #Tokyo #Badan Meteorologi Jepun #NHK #tsunami #Miyagi
;