Gempa bumi: Kedutaan Turkiye, Wisma Putra atur operasi, elak lambakan barang bantuan

Israr Khalid
Februari 8, 2023 22:07 MYT
Emir Salim Yksel berkata , mereka akan disokong beberapa NGO untuk menghantar bantuan kepada pasukan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yüksel memaklumkan bahawa pihaknya bersama Wisma Putra sedang mengatur operasi bersama untuk misi kemanusiaan ke tenggara Turki yang terjejas akibat gempa bumi.
Katanya, mereka akan disokong beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghantar bantuan kepada pasukan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang menjadi keutamaan ketika ini.
“Kami cuba untuk menghantar beberapa pasukan dan bekalan ubat-ubatan, kemudian sudah pasti dengan keadaan di sana, akan tiba waktu untuk sumbangan kewangan dan barangan yang akan disalurkan ke Turkiye.
“Tapi saya rasa ia patut kekal antara kami Kedutaan Turkiye di Malaysia dan Wisma Putra kerana tidak mahu terbeban (dengan terlalu banyak penerimaan barang bantuan hingga menyebabkan lambakan),” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Katanya, ketika tragedi gempa bumi 1999 di Izmit berlaku lambakan barangan bantuan masuk ke Turkiye hingga menyebabkan pergerakan tersekat, dan mereka mahu mengelakkan perkara sedemikian berlaku lagi.
Di samping menyusun sukarelawan yang akan dihantar ke sana, NGO terlibat turut akan membantu menguruskan bantuan dalam bentuk wang dan barangan yang diterima.
Justeru beliau mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan bantuan kepada saluran-saluran rasmi yang telah diuar-uarkan menerusi laman web dan media sosial Kedutaan Turkiye di Malaysia.
Kedutaan Turkiye & Wisma Putra sedang atur operasi bersama - Duta Turkiye ke Malaysia
#Gempa Bumi Turki #gempa turkiye #duta besar turkiye #barang bantuan
;