Gempa bumi Kahramanmaras 3 kali ganda lebih kuat berbanding gempa 1999 - Erdogan

Bernama
Februari 12, 2023 12:46 MYT
Gempa Erzincan di timur Turkiye sebelum ini meragut kira-kira 33,000 nyawa, manakala gempa bumi Marmara 1999 meragut kira-kira 18,000. - Gambar fail
ANKARA: Dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Turkiye minggu ini adalah tiga kali ganda lebih kuat berbanding gempa bumi Marmara 1999 di barat laut negara itu, kata Presidennya Recep Tayyip Erdogan pada Sabtu.
"Ia tiga kali lebih kuat dan memusnahkan berbanding gempa bumi 1999, yang direkodkan sebagai bencana terbesar dalam sejarah negara kita.
"Ia juga direkodkan sebagai bencana yang jauh lebih besar dan lebih merosakkan daripada gempa bumi Erzincan 1939," kata Erdogan ketika beliau melawat wilayah tenggara Diyarbakir.
Gempa Erzincan di timur Turkiye sebelum ini meragut kira-kira 33,000 nyawa, manakala gempa bumi Marmara 1999 meragut kira-kira 18,000, lapor Agensi Anadolu.
Sekurang-kurangnya 21,848 orang terbunuh manakala 80,104 yang lain cedera sejak gempa bumi berpusat di wilayah Kahramanmaras, melanda selatan Turkiye pada Isnin.
"Pada masa ini, 160,000 kakitangan bekerja di 10 wilayah, bersama pasukan dari luar negara," kata Erdogan, yang turut bertemu dengan mangsa gempa di Diyarbakir dan Sanliurfa.
Pemimpin Turkiye itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua negara yang menghantar pasukan mencari dan menyelamat.
Erdogan sebelum ini berjanji untuk membina semula wilayah yang dilanda bencana sebagai sebahagian daripada rancangan selama setahun.
"Kami merancang untuk membina semula ratusan ribu rumah, termasuk infrastruktur dan struktur atasnya serta memulihkan bandar kami yang rosak akibat gempa bumi," katanya.
Semasa lawatan ke Sanliurfa, Erdogan berkata kerajaan sedang menyediakan program "untuk meringankan penderitaan mangsa gempa bumi."
-- BERNAMA
#gempa turkiye #Recep Tayyip Erdogan #Marmara #mangsa korban
;