Gempa bumi Indonesia: Mangsa dalam bengkel sebelum runtuhan

Agensi
November 21, 2022 22:24 MYT
Sementara itu, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Ai Rohmah menceritakan detik ngeri itu menyebabkan wajahnya cedera. - Gambar/ AP
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 46 orang maut manakala 700 lagi cedera akibat gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter melanda daerah Cianjur, wilayah Jawa Barat.
Memetik laporan Kompas, salah seorang mangsa yang cedera dalam kejadian, Jajang (51) warga Desa Garogol, Cianjur menceritakan detik berlaku gegaran dengan kekuatan 5.6 magnitud di kawasannya.
“Saya berada di bengkel membaiki kereta. Tanpa amaran, saya rasa bangunan sedikit bergegar dan terus runtuh,” kata Jajang.
Tanpa berfikir panjang, Jajang kemudian membonceng motosikalnya ke Pusat Kesihatan berhampiran dengan wajah berlumuran darah.
Sementara itu, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Ai Rohmah menceritakan detik ngeri itu menyebabkan wajahnya cedera.
“Ketika itu saya berada di rumah. Selepas rasakan gegaran badan saya dihimpap peti ais dan wajah ditimpa batu bata. Jiran segera datang membantu,” katanya.
Sehingga kini, ratusan mangsa gempa berada di perkarangan hospital Cianjur untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Penduduk di kawasan Jakarta dan Bekasi dilaporkan merasai gegaran pada jam 1.21 petang waktu tempatan.
Gegaran berlanjutan hampir 15 saat di Cianjur dan kurang tujuh saat di Bandung, Bogor, Sukabumi.
#gempa bumi #Gempa bumi Cianjur #jawa barat #gempa bumi Indonesia
;