Gempa bumi gemparkan penduduk Santorini, Greece

Bernama
Februari 2, 2025 21:22 MYT
Pulau percutian popular di Greece, Santorini digegarkan oleh siri gempa bumi beberapa hari kebelakangan ini, menyebabkan pihak berkuasa menutup sekolah pada Isnin. - Gambar fail/REUTERS
ATHENS: Pulau percutian popular di Greece, Santorini digegarkan oleh siri gempa bumi beberapa hari kebelakangan ini, menyebabkan pihak berkuasa menutup sekolah pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penduduk pulau gunung berapi itu diingatkan untuk tidak berada di kawasan pantai yang berisiko terjadinya tanah runtuh.
Satu kenyataan majlis bandar raya Santorini turut menyatakan semua acara di ruang tertutup perlu dibatalkan.
Setakat ini, tiada kerosakan besar dilaporkan.
Menurut institut seismologi bandar pelabuhan utara Greek, Thessaloniki, kebanyakan gempa bumi berlaku di bawah dasar laut antara pulau Santorini dan Amorgos.
Kekuatan gegaran adalah antara 3 hingga 4.5, dengan kecenderungan meningkat, bermakna tiada pengesahan yang keadaan sudah selamat, kata ahli seismologi Gerasimos Papadopoulos, yang turut menyatakan: "Dengan peningkatan magnitud, risiko gempa bumi juga meningkat."
Di sekitar Santorini, terdapat bukan sahaja kawah gunung berapi pulau yang menakjubkan, tetapi juga gunung berapi lain di bawah permukaan laut dan beberapa plat tektonik. Pergerakan ini boleh menyebabkan gempa bumi yang kuat.
Pada 1956, gempa bumi dengan magnitud 7.7 dan 7.2, diikuti oleh tsunami berlaku menyebabkan banyak kematian dan kerosakan teruk di rantau ini.
-- BERNAMA
#gempa bumi #pulau #Santorini #Greece
;