Gempa bumi di Pasifik Selatan, tsunami kecil dikesan

Agensi
November 20, 2017 11:19 MYT
Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii telah pun mengeluarkan amaran tsunami bagi garis pantai berjarak 300 kilometer dari pusat gempa.
Beberapa tsunami kecil dikesan susulan gempa bumi kuat berukuran 7 magnitud melanda bahagian timur Loyalty Islands, New Caledonia di Pasifik Selatan pada Isnin.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii telah pun mengeluarkan amaran tsunami bagi garis pantai berjarak 300 kilometer dari pusat gempa itu.
Arahan bersiap sedia untuk berpindah juga telah dikeluarkan bagi pengunjung-pengunjung yang berada di sekitar hotel berdekatan pantai.
Ketinggian gelombang juga dikatakkan berubah-ubah bergantung pada garis pantai dan gelombang awal.
Tsunami kecil yang telah dikesan diramalkan akan naik ke ketinggian satu meter (tiga kaki) di atas paras air pasang dan melanda bahagian-bahagian New Caledonia manakala ombak lebih kecil dijangka melanda Vanuatu.
"Kami agak terkejut dengan kejadian gempa bumi malam tadi dan hari ini gempa yang agak besar telah berlaku," kata pengurus perhubungan Hotel Nengone Village, Wayan Rigault.
Menurut Rigault, tiada sebarang kerosakan yang berlaku, namun para tetamu telah bersedia jika ada amaran pemindahan rasmi dikeluarkan.
Pejabat Pengurusan Bencana Nasional Vanuatu menasihatkan penghuni di wilayah selatan untuk mengosongkan kawasan pesisir pantai dan pergi ke kawasan yang lebih tinggi.
Ini merupakan gempa kedua di kawasan berkenaan dalam masa 12 jam.
#amaran tsunami #gempa bumi #Hawaii #New Caledonia #Pasifik Selatan #tsunami kecil #Vanuatu
;