Gempa bumi di Jepun: Seorang dilaporkan maut akibat bangunan runtuh
Astro Awani
Januari 1, 2024 23:54 MYT
Januari 1, 2024 23:54 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang dilaporkan maut selepas bangunan runtuh di bandar Shika akibat gempa bumi yang melanda wilayah Ishikawa pada Isnin, lapor Reuters.
Terdahulu, pihak berkuasa Jepun memaklumkan, sekurang-kurangnya enam buah rumah rosak akibat gempa bumi itu, dengan beberapa penduduk terperangkap di dalamnya.
Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami peringkat tinggi selepas beberapa siri gempa bumi kuat menggegarkan kawasan barat negara itu pada Isnin.
Siri gempa bumi melanda Ishikawa dan wilayah berdekatan, dengan satu gempa bumi bermagnitud 7.4, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Dalam satu sidang media pada Isnin, JMA juga memaklumkan pihaknya menjangkakan satu lagi gempa bumi kuat akan melanda kawasan tersebut dalam masa seminggu akan datang.
Biarpun gempa bumi yang melanda kali ini tidak seteruk yang berlaku pada 2011, namun rakyat Jepun tetap bimbang dengan amaran gempa bumi seterusnya dalam masa seminggu akan datang.