Gempa bumi dengan magnitud 7.2 landa wilayah Maluku Indonesia

Bernama
November 8, 2023 16:34 MYT
Menurut BMKG pusat gempa terletak di laut kira-kira 251 kilometer di barat laut Tanimbar.
JAKARTA: Gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter melanda wilayah Maluku, Indonesia pada Rabu, menurut agensi geofizik (BMKG) negara itu.
Pusat gempa terletak di laut kira-kira 251 kilometer di barat laut Tanimbar.
Gempa bumi itu tidak cetuskan ancaman tsunami, menurut BMKG dalam satu kenyataan.
Gempa bumi berlaku pada 11.52 pagi waktu Indonesia Barat dengan koordinat tepat pada 6.31 darjah lintang selatan dan 129.77 darjah bujur timur, pada kedalaman 10 kilometer.
Gegaran kuat dirasai di pelbagai kawasan di pulau itu, termasuk Saumlaki, Banda, Ambon, Damer, dan Kisar.
Ketua Balai BMKG Ambon, Djati Cipto Kuncoro menggesa orang ramai supaya bertenang dan menasihatkan mereka agar tidak terpengaruh dengan khabar angin yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.
Penduduk juga dinasihatkan supaya mengelak bangunan yang mengalami keretakan atau kerosakan akibat gempa bumi.
Setakat ini, tiada maklumat mengenai jumlah korban atau tahap kerosakan akibat gempa bumi itu.
-- BERNAMA
#gempa bumi #Maluku #Indonesia #skala Richter #tsunami
;