Gempa bumi dengan 6 magnitud landa Jepun
Bernama
Jun 3, 2024 17:29 MYT
Jun 3, 2024 17:29 MYT
ISTANBUL: Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda Wilayah Ishikawa, Jepun awal pagi Isnin.
Gempa bumi itu berlaku pada pukul 6.31 pagi waktu tempatan di Bandar Suzu di pantai timur laut Semenanjung Noto, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Magnitud gegaran itu disemak semula dari 5.9 kepada 6 oleh agensi itu, lapor Agensi Anadolu.
Semenanjung Noto pernah dilanda gempa bumi berukuran 7.6 magnitud pada Hari Tahun Baru yang mengorbankan 260 orang. Lebih daripada 3,000 orang masih tinggal di pusat pemindahan.
Gegaran terbaru ini direkodkan pada kedalaman 10 kilometer dan tidak mencetuskan amaran tsunami.
Sekurang-kurangnya lima rumah rosak di bandar bersejarah Wajima, lapor Kyodo News yang berpangkalan di Tokyo. Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Gegaran itu dirasai di seluruh Ishikawa dan di wilayah jiran termasuk Fukui dan Niigata.
Gempa susulan terus dilaporkan di rantau ini.
-- BERNAMA