Gempa bumi berukuran 5.8 magnitud gegar timur Indonesia

Bernama
Oktober 21, 2024 18:08 MYT
Gempa bumi berukuran 5.8 magnitud melanda perairan timur wilayah Maluku Utara, Indonesia, pada Isnin. - Gambar fail
JAKARTA: Gempa bumi berukuran 5.8 magnitud melanda perairan timur wilayah Maluku Utara, Indonesia, pada Isnin, menurut agensi meteorologi, klimatologi dan geofizik negara itu, lapor Xinhua.
Pada awalnya, agensi itu melaporkan gempa dengan magnitud 5.6 tetapi kemudian mengemaskininya kepada 5.8.
Gempa bumi itu berlaku pada 10.24 pagi waktu Jakarta (0324 GMT), dengan pusat gempa terletak tujuh kilometer di utara Halmahera Selatan pada kedalaman 11 km di bawah dasar laut.
Gegaran dirasai pada tahap intensiti III hingga IV pada skala Modified Mercalli Intensity (MMI) di bandar Labuha dan Pulau Obi. Tiada amaran tsunami dikeluarkan kerana gegaran tidak cukup kuat untuk menghasilkan gelombang besar.
Fehby Alting, ketua agensi pengurusan bencana wilayah, memberitahu Xinhua bahawa gegaran itu tidak menyebabkan kerosakan atau korban jiwa.
Indonesia, sebuah kepulauan yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, mempunyai lebih 120 gunung berapi aktif dan sering mengalami aktiviti seismik kerana kedudukannya di kawasan yang terdedah kepada gempa bumi dan gunung berapi aktif ini.
-- BERNAMA
#gempa bumi #timur Indonesia #Maluku Utara #perairan
;