Gempa bumi Afghanistan: Usaha mencari mangsa diteruskan

Astro Awani
Oktober 9, 2023 12:30 MYT
Pasukan kecemasan berusaha keras menyelamatkan mangsa yang tertimbus di bawah timbunan runtuhan bangunan. - Foto AP
HERAT: Lebih 1,000 individu dikhuatiri terkorban dalam kejadian gempa bumi kuat yang melanda wilayah Herat di Afghanistan pada Sabtu.
Pasukan kecemasan berusaha keras menyelamatkan mangsa yang tertimbus di bawah timbunan runtuhan bangunan.
Gempa berukuran 6.3 magnitud melanda negara itu pada jam 11 pagi waktu tempatan menyebabkan banyak kawasan pedalaman terputus hubungan.
Jalan yang rosak menyukarkan lagi pasukan kecemasan untuk pergi ke kawasan pedalaman bagi menjalankan usaha mencari dan menyelamat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sekurang-kurangnya 465 rumah musnah akibat gempa berkenaan.
Pejabat hal ehwal kemanusiaan PBB di Afghanistan memaklumkan lebih 1,000 individu terkorban dalam kejadian itu dan 500 lagi dilaporkan hilang.
Pada Ahad kerajaan Taliban memaklumkan 2,000 orang telah maut atau cedera.
Herat terletak 120km di sempadan Iran dan disifatkan sebagai pusat kebudayaan Afghanistan dengan populasi sebanyak 1.9 juta.
Afghanistan sering dilanda gempa bumi terutamanya di banjaran gunung Hindu Kush.
Pada Jun tahun lepas gempa bumi dengan magnitud 5.9 melanda Paktika yang meragut lebih 1,000 nyawa dan menyebabkan puluhan ribu yang lain hilang tempat tinggal.
#gempa bumi #usaha mencari dan menyelamat #tertimbus #kawasan pedalaman
;