Gempa bumi 7.9 magnitud landa kepulauan Mentawai, Sumatera, Indonesia
Astro Awani
Mac 2, 2016 21:24 MYT
Mac 2, 2016 21:24 MYT
Gempa bumi dengan kekuatan 7.9 magnitud melanda kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, Indonesia, pada jam 8.49 malam waktu Malaysia.
Gempa tersebut berlaku pada kedalaman 10 kilometer, dengan pusat gempa dikesan pada kedudukan 808 kilometer barat daya Padang.
Berdasarkan laporan MetMalaysia, gegaran tersebut mungkin dirasai di Shah Alam, Subang dan Klang di negeri Selangor.
Tiada ancaman tsunami dikeluarkan untuk Malaysia.
Sementara itu, media republik berkenaan melaporkan bahwa amaran tsunami sudah dikeluarkan di kawasan gempa.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia mengingatkan penduduk di Sumatera Barat, Sumatera Utara, Aceh, Bengkulu dan Lampung untuk berwaspada.
Setakat ini belum ada laporan mengenai kemusnahan harta benda atau kehilangan nyawa.
Pindah tempat selamat
Sementara itu, Bernama melaporkan Pengarah Education Malaysia di Jakarta, Dr Juzhar Jusoh ketika dihubungi berkata, kesemua 314 pelajar Malaysia di Aceh dan 78 pelajar di Andalas, Padang diarah supaya berpindah ke tempat yang selamat.
Katanya kepada Bernama, semua ketua-ketua pelajar telah dimaklumkan supaya mengikut arahan yang ditetapkan dan pihak Education Malaysia sedang menguruskan keperluan pelajar.
"Kita sedang memantau keadaan dan menghubungi ketua-ketua pelajar dan setakat ini kesemua pelajar telah tahu apa yang harus mereka lakukan. Mengikut laporan yang diterima, pelajar memberitahu gempa kali ini terasa kuat di Padang dan masa yang berlaku agak lama," kata beliau.
Beliau berkata, ibu bapa di Malaysia tidak perlu bimbang kerana Education Malaysia mempunyai sistem prosedur bagi menghadapi sebarang bencana alam dengan melantik seorang ketua bagi setiap 10 orang pelajar.
Juzhar berkata, menerusi sistem itu, semua ketua pelajar akan memastikan anggota kumpulannya dapat berhimpun dan tiada sesiapa yang akan ketinggalan.