Gempa bumi 7.7 magnitud di Pasifik Selatan cetus tsunami

Sinar Harian
Februari 11, 2021 08:03 MYT
Gempa bumi berlaku tengah malam tadi kira-kira 415km timur Vao di New Caledonia pada kedalaman 10 kilometer.
NOUMEA: Gempa bumi kuat 7.7 skala Richter melanda Pasifik Selatan pada Rabu dan mencetuskan tsunami kecil yang tidak menyebabkan kerosakan terhadap negara kepulauan.
Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi berlaku tengah malam tadi kira-kira 415 kilometer (258 batu) timur Vao di New Caledonia pada kedalaman 10 kilometer.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik NWS kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengatakan "gelombang tsunami berbahaya" diramalkan di beberapa pantai.
Dikatakan gelombang antara 0.3 dan satu meter di atas permukaan air pasang dijangka berlaku di Fiji, New Zealand dan Vanuatu.
Bagaimanapun setakat ini tiada laporan tentang kematian atau kerosakan berlaku akibat gempa bumi kuat itu.
#gempa bumi #tsunami #Pasifik Selatan #USGS #New Caledonia
;