Gempa bumi 6.2 magnitud landa Sumatera

Agensi
Mei 18, 2014 10:17 MYT
Gempa bumi 6.2 magnitud landa Sumatera
Satu gempa bumi dengan kekuatan 6.2 magnitud melanda wilayah Sumatera, Indonesia pagi ini. Namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Menurut laporan pusat pemantau gempa Amerika Syarikat, US Geological Survey, USGS gempa terjadi di kedalaman sembilan kilometer, kira-kira 300 kilometer ke barat Banda Aceh.
Gempa berlaku sekitar pukul 9 pagi waktu Malaysia.
“Gegaran yang kuat dapat dirasakan untuk beberapa saat oleh penduduk di kawasan persisiran pantai barat,” kata jurucakap agensi kecemasan negara itu, Sutopo Purwo Nugroho.
“Beberapa penduduk turut melarikan diri.”
Namun tiada laporan kemusnahan setakat ini.
Sementara itu Mochammad Riyadi dari agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik Indonesia berkata pihaknya turut tidak menerima apa-apa laporan berkaitan sebarang kematian atau kemusnahan akibat gempa itu.
“Gegarannya mungkin kuat tetapi hakikatnya lokasi pusat gempa terletak jauh dari bandar terdekat iaitu Banda Aceh.
Indonesia sememangnya terletak di dalam "lingkaran api Pasifik" yang merujuk kepada pergerakan aktif seismik dan aktiviti gunung berapi.
Dalam kejadian tsunami yang melanda Lautan Hindi pada 2004, lebih 170,000 terkorban di negara itu dengan majoriti mangsa di Banda Aceh.
#Banda Aceh #gempa bumi #gunung berapi #Indonesia #Sumatera
;