Gempa bumi 6.2 magnitud gegarkan Itali
Agensi
Ogos 24, 2016 12:01 MYT
Ogos 24, 2016 12:01 MYT
Gempa bumi berkekuatan 6.1 magnitud melanda bahagian tengah Itali pada Rabu, lantas mengakibatkan kemusnahan bangunan dan bekalan kuasa terputus sekitar Rieti.
Laporan media tempatan melaporkan, setakat ini sekurang-kurangnya dua orang disahkan terkorban.
Susulan gegaran kuat itu, penduduk segera meninggalkan kediaman masing-masing untuk berada di kawasan selamat di kawasan terbuka.
Gegaran itu berlaku sekitar jam 3.30 pagi waktu tempatan, dan dirasai di hamparan bahagian tengah negara itu termasuk di ibu negaranya, Rome.
Orang ramai yang menghuni rumah di tengah-tengah kawasan sejarah itu pada awalnya merasakan kesan hayunan imbangan yang lama dan diikuti gegaran susulan.
Pusat Seismologi Mediterranean Eropah meletakkan bacaan gegaran itu pada ukuran 6.1 dengan menyatakan pusat gempanya di Rieti. Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula menetapkan rekod 6.2 magnitud.
Datuk Bandar Amatrice, Sergio Pirozzi berkata terdapat penduduk yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan selain menyatakan ‘bandar itu musnah teruk’.
Pirozzi memberitahu stesen media tempatan bahawa jentera berat diperlukan untuk membersihkan jalanan yang dipenuhi sisa runtuhan bangunan, seterusnya untuk memberi bantuan kepada mangsa yang cedera.