Gempa bumi 5.2 magnitud di Peru, sekurang-kurangnya empat maut
Agensi
Ogos 15, 2016 20:57 MYT
Ogos 15, 2016 20:57 MYT
Kejadian gempa bumi berkekuatan 5.2 magnitud yang melanda Peru pada malam Ahad mengakibatkan sekurang-kurangnya empat maut dan 40 lagi cedera, ujar sumber rasmi pasukan pertahanan awam negara itu.
Walau bagaimanapun, angka mereka yang terjejas dalam bencana di wilayah Arequipa itu dijangka meningkat berikutan 50 buah rumah runtuh manakala rangkaian jalan raya terputus, lapor AFP.
Kejadian gempa bumi sering berlaku di Peru, namun kali ini pusatnya dikenal pasti di kedalaman cuma 8 kilometer lantas menyebabkan kemusnahan teruk.
Institut Geofizikal Peru melaporkan, pusat gempa tersebut berjarak 10 kilometer dari bandar Chivay, dalam wilayah Caylloma.
Dua gegaran susulan turut berlaku pada awal pagi Isnin.
Gegarannya turut mengakibatkan kerosakan teruk di banyak kawasan sekitar Arequipa termasuk di Lembah Colca, dengan beberapa buah kampung terputus hubungan.
“Kami meminta pelbagai jentera berat untuk membantu menyambung semula akses yang terputus. Terdapat mangsa korban di situ,” ujar Datuk Bandar Caylloma, Romulo Tinta.
Sementara itu, Gabenor Arequipa Yamila Osorio memberitahu, lebih daripada 80 rumah telah ditinggalkan penghuninya, namun bantuan masih tidak dapat sampai ke kawasan pusat gempa