Gempa 5.9 magnitud gegar Sumatera - USGS

Astro Awani
November 1, 2021 05:53 MYT
Gempa luar pesisir itu dikesan pada kedalaman 6 kilometer, kira-kira 255 kilometer di selatan bandar Sinabang. -USGS
SATU gempa bumi kuat 5.9 pada skala Richter dikesan melanda pantai kepulauan Sumatera, Indonesia pada pagi Selasa.
Pusat Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS) dalam kenyataannya berkata gempa dikesan pada jam 12.04 tengah malam tadi waktu tempatan (1.04 pagi waktu Malaysia).
Tiada amaran tsunami atau laporan awal kerosakan dikeluarkan setakat ini.
Gempa luar pesisir itu dikesan pada kedalaman 6 kilometer, kira-kira 255 kilometer di selatan bandar Sinabang.
Indonesia kerap mengalami gempa disebabkan kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.
Pada Januari, lebih 100 orang terbunuh dan beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal apabila gempa bumi 6.2 magnitud melanda Pulau Sulawesi.
Gempa pada 7.5 magnitud dan tsunami di Palu tiga tahun lalu pula meragut lebih 4,300 nyawa.
#gempa bumi #USGS #Sumatera #Sinabang
;