Gelombang haba musim panas melampau, kobar api hanguskan hutan Greece, Turki dan California
Agensi
Ogos 7, 2021 14:35 MYT
Ogos 7, 2021 14:35 MYT
SITUASI gelombang haba yang melampau dalam musim panas kali ini membuatkan banyak kawasan di zon terbabit berdepan bencana kebakaran yang sukar untuk dihadapi.
DI CALIFORNIA, Amerika Syarikat, pasukan bomba dan penyelamat berusaha sehabis tenaga untuk memadamkan api yang memusnahkan hutan berharga di kawasan itu.
Pada Jumaat, mereka meneruskan strategi melawan api dengan mengambil kesempatan seiring keadaan suhu udara yang lebih dingin dan lembap, selain tiupan angin yang lemah.
Kebakaran yang digelar sebagai Dixie Fire itu, bermula pada 14 Julai lalu di pergunungan Sierra Nevada, iaitu kira-kira 258 kilometer di utara Sacramento. Amukan api telah menghanguskan kawasan seluas 175, 153 hektar sehingga petang Jumaat, sekali gus menjadikan ia bencana kebakaran hutan paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat.
Api telah merebak pantas ke sebuah bandar bersejarah yang terkenal dengan aktiviti perlombongan iaitu Greenville pada Rabu.
Greenville, dengan populasi 800 orang, diasaskan pada 150 tahun lalu apabila lombong-lombong emas ditemui di lembah tersebut, dan seterusnya menarik kedatangan pedagang dan penduduk yang membina petempatan.
"Bandar saya yang cantik ini berubah menjadi banda hantu semalaman," kata seorang wartawan Meg Upton, dalam satu artikel dalam talian.
California, yang bukan kali pertama berdepan masalah kebakaran hutan, kini pasrah dengan kesan kemusnahan yang teruk, malah lebih buruk dari yang pernah terjadi sebelumnya.
Kira-kira 16,000 orang dipindahkan minggu ini demi menyelamatkan mereka dari bencana tersebut.
Di ATHENS, kebakaran yang berterusan dari siang ke malam dan bersambung lagi ke hari berikutnya memusnahkan banyak kawasan hutan dan kediaman di pinggir utara bandar tersebut dan beberapa bahagian lain.
Perkembangan menakutkan itu memaksa lebih banyak penduduk melarikan diri sementara menanti ketibaan bantuan antarabangsa.
Pihak berkuasa bertungkus-lumus mengawal 154 lokasi kebakaran hutan di seluruh negara itu pada Jumaat, dengan kawasan yang paling terjejas teruk adalah di utara Athens, pulau Evia dan di Peloponnese termasuk Mani, Messinia dan kota using Olympia, iaitu tapak temasya Olimpik yang pertama.
"Kami berdepan dengan satu lagi malam yang sukar. Kekuatan kebakaran ini sangat tidak dijangka. Anggita kami sedang cuba untuk menghadapinya dengan bantuan sukarelawan,” ujar Timbalan Menteri Pertahanan Awam, Nikos Hardalias.
Di utara Pulau Evia berdekatan Athens, pengawal pantai telah memindahkan 650 orang dengan bot apabila api menghanguskan seluruh kawasan hutan pulau itu hingga ke garis pantai, buat hari keempat.
Apabila malam menjelma, anggota bomba di Athens terpaksa berusaha memadamkan lagi api yang kembali marak akibat tiupan angin, termasuk di sekitar Tasik Marathon hingga ke Gunung Parnitha.
Greece, sama seperti banyak negara Eropah lain, sedang dilanda cuaca ekstrem pada musim panas kali ini.
Gelombang haba paling buruk dalam tempoh 30 tahun, yang berlarutan selama seminggu, telah mencetus kebakaran di banyak tempat.
Belum terhitung jumlah sebenar kediaman yang musnah dan haiwan yang terkorban akibat kebakaran tersebut.
Api yang mula menjadi ancaman besar sejak Selasa lalu, membakar sekitar kawasan rentasan sebuah lebuh raya yang menghubungkan Athens dengan lokasi lain di utara Greece, hingga memaksa anggota penyelamat menggunakan pesawat untuk memadamkan api.
Di TURKI sejak Jumaat, bencana api yang menjejaskan kehidupan manusia dan habitat haiwan liar bagaikan tiada kesudahan setelah masuk hari ke-10.
Marak api sudah menghampiri sebuah lagi stesen janakuasa di barat daya negara berkenaan, ketika pasukan anggota bomba baru saja memadamkan kesan kebakaran di sebuah tapak loji kuasa lain yang dijilat api sebelum itu.
Puluhan ribu hektar hutan musnah di wilayah Mediterranean dan Aegean dalam bencana yang disifatkan Presiden Tayyip Erdogan sebagai yang terburuk dalam sejarah Turki.
Lapan orang disahkan maut dan ribuan rakyat tempatan dan pelancong telah dipindahkan.
Di wilayah Mugla yang menjadi lokasi pelancongan resort seperti Bodrum dan Marmaris, juga diancam marak api dengan titik kebakaran terkini dikesan hanya 5 kilometer dari sebuah stesen batu arang Yenikoy.
Pihak berkuasa sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan kebakaran itu tidak mendekati stesen bekalan kuasa tersebut.
Bagaimanapun, angin yang kencang dan tahap kelembapan rendah serta suhu di atas 40 darjah Celsius telah menyukarkan lagi usaha pengawalan dan memburukkan lagi keadaan.