Gelombang haba landa selatan AS
Bernama
Jun 20, 2023 10:50 MYT
Jun 20, 2023 10:50 MYT
LOS ANGELES: Lebih 35 juta penduduk di beberapa negeri di selatan Amerika Syarikat (AS), termasuk di Texas, Louisiana dan Florida, mengalami gelombang haba yang dijangka berlarutan selama beberapa hari, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) AS.
Gelombang haba terik akan berterusan sepanjang minggu ini, menurut ramalan terkini NWS pada Isnin, lapor Xinhua.
Ribut petir dan hujan lebat mungkin melanda dalam beberapa hari lagi di seluruh tenggara selain cuaca panas melampau berterusan di kawasan barat daya, menurut NWS.
Gelombang haba berlaku lebih kerap berbanding biasa di bandar-bandar utama di seluruh AS.
Kekerapannya meningkat secara berterusan, daripada purata dua gelombang haba setahun pada 1960-an kepada enam kali setahun pada 2010-an dan 2020-an, menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS.
-- BERNAMA