Gelombang haba: Kebakaran hutan landa Eropah Selatan

Bernama
Julai 19, 2024 16:15 MYT
Kebakaran hutan juga menyebabkan malapetaka di beberapa negara lain di rantau ini, termasuk Moldova, Bosnia dan Herzegovina, Romania dan Croatia. - Reuters
BRUSSELS: Kebakaran hutan yang marak telah meragut sekurang-kurangnya dua nyawa dan mencederakan empat yang lain setakat Khamis, ketika api memusnahkan hutan gunung dan tumbuh-tumbuhan di beberapa negara Eropah selatan di tengah-tengah gelombang haba yang melampau.
Dua anggota bomba Itali kehilangan nyawa pada petang Rabu ketika memadamkan kebakaran tumbuh-tumbuhan di Nova Siri, sebuah perbandaran di wilayah selatan Matera, menurut pihak berkuasa tempatan.
Giuseppe Lasalata dan Antonio Martino, kedua-duanya berusia 45 tahun, terjatuh dari tebing dan meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan sebuah keluarga daripada rumah mereka yang terbakar dikelilingi tumbuh-tumbuhan. "Mereka berkelakuan seperti wira," kata Datuk Bandar Nova Siri, Antonello Mele kepada media.
Ketika gelombang haba melampau berterusan, kebakaran hutan berlaku hampir setiap hari di Itali, terutama di selatan dan di pulau-pulaunya. Pada hari Selasa, kebakaran berhampiran Rome mengganggu hubungan kereta api antara ibu negara Itali dan bandar selatan Naples. Suhu di kawasan bandar Rome dijangka melebihi 38 darjah Celsius dalam beberapa hari akan datang, lapor Xinhua.
Di Greece, empat anggota bomba cedera pada Rabu, menurut Jabatan Bomba negara itu. Seorang daripada mereka, sukarelawan dari Sofiko, dilaporkan mengalami serangan jantung dan dibawa ke hospital di Attica. Tiga lagi anggota bomba mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Corinth.
Anggota bomba telah dipanggil untuk menangani puluhan kebakaran hutan di Greece setiap hari sejak 1 Mei. Pada Rabu sahaja, 42 kebakaran tumbuh-tumbuhan dan hutan dilaporkan di seluruh negara.
Juga pada Rabu, kebakaran hutan di Macedonia Utara menyebabkan penutupan laluan sempadan utama antara Macedonia Utara dan Greece, menurut Kementerian Dalam Negeri Macedonia Utara. Laluan itu merupakan hab utama bagi pelancong yang melakukan perjalanan antara kedua-dua negara.
Pada pagi Khamis, kebakaran hutan yang dahsyat berlaku di barat Slovenia. Menjelang petang Khamis, api telah marak membabitkan 150 hektar tanah, walaupun kampung-kampung berhampiran belum terancam. Penduduk dinasihatkan untuk menutup pintu dan tingkap kerana asap tebal.
Lebih 200 anggota bomba dan empat helikopter telah menyertai operasi pemadaman kebakaran, yang dijangka berterusan selama beberapa hari, kata ketua operasi Simon Vendramin kepada Radio-Televisyen Slovenia.
Slovenia kini dalam minggu kedua gelombang haba melampau, dengan suhu tinggi melebihi 37 darjah Celsius.
Kebakaran hutan juga menyebabkan malapetaka di beberapa negara lain di rantau ini, termasuk Moldova, Bosnia dan Herzegovina, Romania dan Croatia.
Data dari Inspektorat Am untuk Situasi Kecemasan Moldova menunjukkan bahawa dalam tempoh 24 jam antara Isnin dan Selasa sahaja, kebakaran hutan memusnahkan lebih 120 hektar hutan dan tumbuh-tumbuhan. Ia akan mengambil masa tujuh tahun dan lebih EUR30,000 untuk memulihkan hutan itu, kata Kementerian Alam Sekitar Moldova dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa di Sepanyol juga memberi amaran mengenai risiko kebakaran hutan yang meningkat ketika gelombang haba melanda wilayah selatan dan timur laut. Kemuncak haba melampau dijangka pada hari Jumaat, dengan suhu meningkat sehingga 44 darjah Celsius, menurut Agensi Meteorologi Negeri.
-- BERNAMA
#kebakaran hutan #eropah #Itali #gelombang haba
;