Gelombang haba berbahaya diramal tiga kali lebih kerap, kawasan tropika antara terjejas
Agensi
Ogos 28, 2022 13:28 MYT
Ogos 28, 2022 13:28 MYT
SATU kajian mendedahkan gelombang haba panas 'berbahaya' diramal melanda dunia sekurang-kurangnya tiga kali lebih kerap susulan perubahan iklim yang bertambah buruk.
Menurut kajian bertajuk 'Nature Communications Earth & Environment" yang diterbitkan Khamis lalu, menjelang 2100 indeks haba yang melampau mungkin berlarutan untuk kebanyakan musim panas di kawasan seperti tenggara Amerika Syarikat (AS).
Memetik laman sesawang Biro Perangkaan Buruh AS, bahagian tenggara AS antaranya meliputi Alabama, Florida, Georgia, Kentucky, Mississippi, Maryland serta Utara Carolina.
Selain itu, pengarang utama kajian berkenaan, Lucas Vargas Zeppetello dari Universiti Harvard, menjangkakan situasi lebih buruk di kawasan tropika dengan suhu berbahaya berlaku hampir setiap hari dalam setiap tahun menjelang akhir abad ini.
Katanya, jika kadar pelepasan tidak dikawal, beberapa bahagian tropika termasuk kawasan sub-Sahara Afrika dan India berisiko tinggi mengalami tahap haba berbahaya.
"Jadi itulah perkara yang menakutkan tentang ini. Berbilion-bilion orang berpotensi terdedah kepada tahap haba yang sangat berbahaya secara kerap jika tiada tindakan diambil.
"Sesuatu yang hampir tidak pernah berlaku sebelum ini akan bertukar kepada sesuatu yang berlaku setiap tahun," katanya dalam laporan tersebut.
Dalam senario terburuk di mana pelepasan berterusan tanpa kawalan, Lucas menambah suhu melampau boleh berlarutan sehingga dua bulan setiap tahun di bahagian kawasan tropika.
Keadaan itu memberi risiko kepada penyakit berkaitan haba terutamanya dalam kalangan orang tua, kumpulan mudah terjejas serta mereka yang bekerja di luar.
Dalam pada itu, kajian tersebut menyatakan gelombang panas yang boleh membawa maut akan turut melanda kawasan luar tropika dengan kemungkinan ia akan menjadi acara tahunan.
Penyelidik menggunakan indeks haba yang meletakkan paras ‘bahaya’ pada 39.4 darjah Celcius, manakala suhu melebihi 51 darjah Celcius dianggap ‘sangat berbahaya’ dan sama sekali tidak selamat untuk manusia.
#Gelombang haba melampau
#Gelombang haba tiga kali lebih kerap
#Bahaya gelombang haba
#Gelombang haba kawasan tropika