Gelembung perjalanan Thailand kecualikan pelancong santai asing

Bernama
Jun 17, 2020 04:25 MYT
Thailand merancang membuka semula pintunya di bawah gelembung perjalanan kepada pelawat perniagaan dan pekerja profesional namun pelancong santai asing dikecualikan. Foto: AP
Thailand merancang membuka semula pintunya di bawah gelembung perjalanan kepada pelawat perniagaan dan pekerja profesional namun pelancong santai asing dikecualikan.
Memandangkan Thailand terus mencatat sifar jangkitan tempatan selama 23 hari berturut-turut, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata beliau akan mencadangkan pelan gelembung perjalanan kepada Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha minggu depan.
"Pelan itu akan terpakai kepada negara yang berjaya mengekang COVID-19," katanya seperti dipetik oleh Bangkok Post pada Rabu.
Pada peringkat awal, Anutin berkata Thailand merancang membuka pintunya kepada pelawat perniagaan dan pekerja profesional termasuk jurutera dan guru asing.
Gelembung perjalanan atau koridor perjalanan merujuk kepada satu persetujuan menyaksikan negara yang berjaya mengekang penularan COVID-19 membuka semula sempadannya bagi membolehkan pergerakan bebas.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Jeneral Somsak Roongsita berkata banyak negara telah mendekati Thailand untuk menjadi pasangan perjalanan negara tersebut.
Memandangkan kesihatan awam adalah keutamaan kerajaan Thailand, beliau berkata pihak berkuasa yang relevan akan mengkaji pelan itu dari segala aspek.
"Perlu ada perbincangan menyeluruh, yang mungkin berlanjutan sehingga bulan depan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) Chula Sukmanop berkata negara tersebut mungkin melanjutkan sekatan perjalanan ke atas semua penumpang penerbangan antarabangsa yang ditetapkan sehingga 30 Jun.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan Awam akan menilai situasi itu manakala kementerian dan agensi yang relevan akan meneliti pelan gelembung perjalanan.
"Pelawat perniagaan dan pelaburan Thailand akan menjadi kumpulan pertama yang dibenarkan menempah tiket penerbangan bagi laluan antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Thailand telah merekodkan sifar kes baharu dan kematian akibat COVID-19 selama tiga hari berturut-turut.
Jumlah keseluruhan kes COVID-19 setakat ini ialah 3,135 dengan 58 kematian manakala seramai 2,996 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital.
-- BERNAMA
#Anutin Charnvirakul #Chula Sukmanop #gelembung perjalanan #pekerja profesional #pelancong santai asing #pelawat perniagaan #Prayuth Chan o-cha #Somsak Roongsita #Thailand
;