Gelar Obama 'anak pelacur', Rodrigo Duterte lahir rasa kesal keluar kata-kata kesat
Agensi
September 6, 2016 17:35 MYT
September 6, 2016 17:35 MYT
Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada Selasa melahirkan rasa kesal atas kecaman yang dibuat terhadap Barack Obama di mana beliau telah menggelar pemimpin Amerika Syarikat itu sebagai "anak pelacur".
"Walaupun punca sebenar adalah daripada komen saya terhadap soalan media tertentu yang mencetuskan keresahan semua pihak, namun kami kesal apabila ia sebaliknya dianggap sebagai serangan peribadi terhadap Presiden Amerika Syarikat," kata kenyataan yang dikeluarkan Duterte.
Pemimpin Amerika Syarikat dan Filipina tersebut bakal bertemu lewat hari ini di ibu negara Laos, Vientiane, dalam majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Namun, Obama telah menarik diri daripada mengadakan mesyuarat dua hala selepas Duterte melahirkan kecaman terhadapnya menjelang lawatan pada sidang media hari ini.
Duterte pada Isnin memberi amaran tidak mahu menerima teguran daripada Obama berhubung kebimbangan mengenai perang membasmi jenayah yang telah meragut lebih 2,400 nyawa di Filipina.
"Awak mesti hormat. Jangan hanya bertanya soalan dan buat kenyataan. Anak pelacur, saya akan kecam awak di forum itu," kata Duterte kepada pemberita ketika ditanya mengenai pesanannya kepada Obama.
Kenyataan Duterte pada Selasa di Laos dibuat dengan nada yang tenang, di mana kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan empat mata "satu hari nanti".
"Hasrat utama kami adalah untuk merangka dasar luar yang bebas di samping menggalakkan hubungan lebih erat dengan semua negara, terutamanya Amerika Syarikat yang telah menjalin kerjasama sejak sekian lama," kata kenyataan itu.
"Kami berharap dapat menyelesaikan pertelingkahan yang timbul susulan persepsi keutamaan nasional dan bekerjasama dengan cara yang bertanggungjawab untuk kedua-dua negara," katanya.