Gelandangan dirikan khemah tanda protes berhampiran dataran Bastille

Astro Awani
Ogos 7, 2024 01:30 MYT
Puluhan khemah didirikan di dataran, hanya beberapa meter dari gelanggang Olimpik yang disediakan sebagai kawasan tarikan pelancong. - Foto REUTERS
PARIS: Gelandangan dan kanak-kanak bawah umur mendirikan kem di Dataran Bastille Paris pada Selasa bagi menuntut peluang perumahan dan mengecam pembersihan sosial yang dilakukan kerajaan untuk Sukan Olimpik.
Puluhan khemah didirikan di dataran, hanya beberapa meter dari gelanggang Olimpik yang disediakan sebagai kawasan tarikan pelancong.
Aksi itu bertujuan memberi penerangan tentang keadaan hidup gelandangan dan pendatang di Paris, di samping memberi tekanan kepada kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak perumahan untuk gelandangan.
Aktivis juga telah membantah 'pembersihan gelandangan sebelum Sukan Olimpik 2024 bermula yang kononnya boleh mencemarkan imej Paris di mata negara luar.
NGO menganggarkan bahawa sebanyak 12,500 orang telah diusir dari kawasan perkhemahan di bandar berkenaan dan peningkatan 40 peratus daripada tempoh yang sama dua tahun lalu.
Kelompok gelandangan telah dibersihkan berhampiran tapak acara pertandingan Olimpik atau di sepanjang laluan larian obor.
Pembersihan berkenaan telah dipermudahkan oleh undang-undang baharu yang diluluskan pada 2023, yang turut mengenakan denda besar dan hukuman penjara bagi pendudukan haram.
Ramai pendatang yang diusir ditawarkan tempat di bahagian lain di Perancis, berikutan desakan oleh kerajaan untuk membebaskan wilayah Paris yang mempunyai permintaan tertinggi untuk perumahan kecemasan di negara itu.
#gelandangan #Kanak-kanak #Khemah #Dataran Bastille Paris