Gelak tawa sulami penghargaan Theresa May terhadap Ratu Elizabeth II
Harits Asyraf Hasnan
September 10, 2022 11:50 MYT
September 10, 2022 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat (House of Commons) United Kingdom (UK) pada Jumaat mengadakan sidang khas sebagai memperingati Ratu Elizabeth II.
Dalam beberapa Ahli Parlimen yang menyampaikan ucapan pernghormatan itu, kisah yang dikongsi bekas Perdana Menteri, Theresa May mencuit hati perwakilan yang hadir.
Suasana hiba, tiba-tiba terselit gelak tawa ketika Ahli Parlimen Maidenhead itu menceritakan kisah beliau berkelah bersama baginda Ratu.
"Baginda Ratu amat menyukai suasana desa, amat merendah diri dan seorang wanita berakal budi.
"Saya teringat ketika berkelah di Balmoral, salah satu lokasi milik baginda. Hamper datang dari istana, dan kami semua masuk untuk meletakkan makanan dan minuman di atas meja.
"Saya mengambil sedikit keju, meletakkannya di atas pinggan dan memindahkannya ke meja. Keju itu terjatuh ke atas lantai. Saya mempunyai masa singkat untuk membuat keputusan," ceritanya sambil diselangi gelak tawa mereka yang hadir.
May berhenti seketika ketika Ahli Parlimen ketawa, sebelum menambah: “Saya mengambil keju itu, meletakkannya di atas pinggan lalu meletakkannya di atas meja.
"Saya menoleh untuk melihat dan mendapati setiap pergerakan saya telah diperhatikan dengan sangat teliti oleh baginda Ratu.
“Saya memandangnya. Baginda memandang saya dan baginda hanya tersenyum. Dan keju itu kekal di atas meja," seraya beberapa anggota Dewan Rakyat ketawa.
Bekas pemimpin utama Parti Konservatif itu ketika memulakan ucapannya menyifatkan Ratu Elizabeth II sebagai individu yang sangat luar biasa yang pernah beliau jumpa.
Malah, May turut berkongsi cerita pertemuan mingguan dengan Baginda Ratu sewaktu menjadi Perdana Menteri.
“Di seluruh negara di dunia, bagi ramai orang, bertemu dengan Ratu Elizabeth sebagai satu kenangan istimewa dalam hidup mereka.
“Sudah tentu, bagi kami yang mendapat penghormatan untuk berkhidmat sebagai salah seorang Perdana Menterinya, pertemuan itu lebih kerap dengan pertemuan secara mingguan.
“Ini bukanlah pertemuan dengan raja yang luar biasa, tetapi perbualan dengan seorang wanita yang berpengalaman dan berpengetahuan serta mempunyai kebijaksanaan yang tinggi.
"Malah, ada pertemuan yang saya hadiri, di mana saya tahu ia tidak akan dimaklumkan kepada media,” jelasnya.
Komen ini juga disambut dengan gelak tawa daripada Ahli Parlimen, sebelum May menambah: "Apa yang membuatkan perjumpaan itu begitu istimewa adalah pemahaman Ratu tentang isu kerja yang baginda masukkan ke dalam kotak merahnya, digabungkan dengan pengalamannya selama bertahun-tahun," katanya.