Gelagat kerabat, martabat tergugat

Razak Chik
Oktober 22, 2019 22:43 MYT
Cerita tentang empat kerabat diraja dunia, masing-masing dengan ragam berbeza. - Gambar fail
CERITA pelbagai ragam melibatkan empat kerabat diraja kebelakangan ini memberi gambaran bagaimana di sebalik tabir istana, mereka semua manusia biasa.
Keluarga Windsors di England, Bernadotte di Sweden, Dinasti Chakri di Siam dan Takhta Kekwa di Jepun – empat kerabat diraja dunia masing-masing dengan ragam berbeza kini menjadi bahan bualan satu dunia.
Di United Kingdom – Megan dan Harry kini menghidupkan kembali legasi Charles dan Diana.
Di Sweden, Raja Karl V Gustaf berusaha kurangkan beban kewangan negara dengan menggugurkan hak kerabat anak dan cucu kalangan kerabat diraja.
Di Jepun, laungan “Banzai, Banzai, Banzai” kedengaran kembali, kali ini bukan jeritan Samurai udara perang dunia kedua.
Era baharu
Ucapan agar 'Maharaja hidup seribu tahun' dituju kepada Maharaja Naruhito – cucu Maharaja Hirohito yang memerintah Jepun era perang dunia kedua.
Bapanya, Maharaja Akihito turun takhta pada Mei tahun ini pada umur 85 tahun akibat keuzuran.
Sebagai Maharaja Jepun ke-125, pemerintahan Naruhito pasti menjanjikan banyak perubahan – termasuk buat pertama kali akan melepaskan takhta apabila tiba masanya, kepada anak sulung, tanpa mengira jantina.
Hasil perkahwinan Naruhito dan Permaisurinya, Masako – yang merupakan rakyat biasa – penyambung takhta adalah anak tunggal mereka Puteri Aiko, kini 18 tahun.
Pecah tradisi
Penyambung zuriat tidak menjadi masalah untuk keluarga Windsor kerana bukan sahaja jantina tidak menjadi perkiraan menentukan kesinambungan, kerabat di raja England terkenal kerana kesuburan mereka.
Masalah mereka hanya satu – media UK yang tidak pernah puas dengan berita sensasi melibatkan istana sama ada berdasar fakta mahupun rekaan.
Putera Harry – anak bongsu mendiang Puteri Diana berani memecah tradisi dengan mengahwini Meghan Markle.
Meghan, bukan sahaja tiga tahun lebih tua dari Harry, seorang pelakon dari Amerika, janda pula dan – bukan berdarah diraja, malah ibunya seorang kulit hitam.
Harry memendam rasa dengan paparazi – kerana antara mereka, dituduh sibuk mengambil gambar dan bukan membantu sewaktu Puteri Diana terperangkap dalam kereta dalam kemalangan yang meragut nyawa ibunya.
'Peneman raja'
Lain pula hal dengan kerabat Siam di mana Raja Maha Vajiralongkorn dengan tegas melucutkan gelaran dan pangkat Sineenat Wongvajirapakdi yang secara rasmi berperanan sebagai peneman raja.
Akhbar di UK tanpa berselindung memanggil Sineenat 'concubine’ yang bermaksud gundik.
Di negara Siam, undang undang ketat lesse majeste wujud di mana kerabat di raja dilindung dan kebal dari sebarang cemuhan.
Sineenat dilaporkan 'lupa daratan’ dan perangainya yang tidak disenangi Raja Maha Vajiralongkorn mengundang parah.
Lucut status
Kerabat diraja Sweden pula menunjukkan tauladan jimat cermat – Raja Karl V Gustav melucutkan status rasmi kerabat kepada anak dan cucunya yang termuda.
Tujuannya – mengurangkan beban perbelanjaan negara dan menggalakkan kalangan kerabat mencari hala tuju sendiri.
#bernadotte #cerita istana #dinasti chakri #Jepun #kelyarga windsor #kerabat diraja #megan markle #Putera Harry #Siam #Sweden #takhta kekwa
;